Thursday, November 3, 2011

Lahirkan kreativiti kontemporari


Setiap hari Zaid Sulaiman sibuk di butiknya apatah lagi sekiranya mendapat tempahan daripada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan.


Tidak mudah tunduk pada tekanan jauh sekali untuk mengaku kalah menjadi rahsia kejayaan Zaid Sulaiman mencipta nama sebagai perunding perkahwinan yang disegani terutama di sekitar Ipoh, Perak.

Berbekalkan minat yang disertai dengan usaha gigih, anak muda berusia 27 tahun menubuhkan Zaha Wedding Planner, sebuah butik perkahwinan terletak di Taman Tawas Gemilang, Ipoh.

"Saya tidak mempunyai kelulusan tertentu dalam bidang ini, hanya bersandarkan pengalaman membantu rakan-rakan yang menjalankan kerja-kerja pengurusan perkahwinan.

"Pada 2010 saya memberanikan diri membuka butik sendiri dan tidak menyangka pula sambutan yang diterima begitu menggalakkan hingga mendorong saya membuka cawangan baru di Sungai Petani, Kedah," katanya.

Tanggungjawab yang semakin berat dan mencabar dalam menguruskan dua butik perkahwinan sekali gus, tidak sekali-kali membuatkan Zaid berkompromi dengan hasil kerjanya.

Apatah lagi katanya, bidang tersebut memerlukan beliau lebih kreatif dan melahirkan idea-idea segar yang dimahukan oleh pelanggan.

"Saya tidak pernah berasa puas. Malah saya sentiasa berfikir dan berusaha untuk mencipta majlis-majlis perkahwinan yang menarik serta lain daripada yang lain.

"Saya tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama sebaliknya kegembiraan dan kepuasan pelanggan adalah hadiah yang lebih berharga.

"Kejayaan menunaikan impian perkahwinan pasangan pengantin satu kenikmatan bagi saya. Hilang segala rasa penat-lelah apabila melihat mereka puas dan gembira," kata pemegang Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, ini.

Menurut Zaind, kerja-kerja mengurus majlis perkahwinan dibantu lima pembantu yang masing-masing mahir dalam bahagian-bahagian tertentu.

Ini bagi memastikan pengurusan majlis perkahwinan berjalan lancar.

"Pernah satu ketika saya menerima 12 tempahan majlis perkahwinan serentak yang memaksa saya berkerja lima hari tanpa henti.

"Memanglah waktu itu untuk berehat sekejap pun payah. Namun selepas semuanya dilaksanakan dan pelanggan gembira itulah erti kejayaan dan kepuasan kerjaya yang saya cari selama ini," katanya.

Hasil sentuhan kreatif Zaid turut menarik minat beberapa artis terkenal tanah air seperti Eira Syazira dan Shera Ayob.

"Apa pun saya tidak membeza-bezakan pelanggan saya. Tidak kira mereka artis mahupun orang biasa apa yang penting saya mahu yang terbaik buat mereka.

"Bagi saya setiap kerenah pelanggan adalah cabaran untuk saya terus maju dalam bidang ini. Walau apa juga yang pelanggan mahu tetap ditunaikan malah lebih daripada itu," tambahnya.

Bermula hanya dengan 14 pasang busana pengantin, Zaha Wedding Planner kini memiliki lebih 150 pasang busana yang kebanyakannya hasil rekaan dan sentuhan idea kreatif Zaid sendiri.

Menurut anak muda ini, sebahagian rekaan busana pengantin yang ada juga hasil daripada gabungan ilham bakal pengantin.

"Selalunya bakal pengantin yang datang ke butik ini mereka sudah ada gambaran sendiri busana yang diinginkan.

"Dari situ saya mungkin akan menambah idea-idea saya bagi menjadikan ia lebih sempurna," katanya.

Mengenai rekaan pelamin pula , Zaid lebih mengutamakan reka bentuk pelamin kontemporari iaitu sentiasa mengikuti peredaran zaman dan kehendak pelanggan.

"Sekiranya sesuatu konsep berlainan yang diajukan kepada saya, saya tidak akan berkata 'tidak'. Saya akan cuba menunaikan kehendak pelanggan saya.

"Sekiranya perlu perkakasan itu diimport saya akan usahakan. Ada beberapa kerusi dan pelamin saya import dari negara jiran bagi memenuhi kehendak pelanggan," katanya.

Zaid yang tidak lekang dengan senyuman dan gurauan, nyata tidak keberatan berkongsi falsafah perniagaan yang telah membawa kejayaan padanya.

"Setiap di antara kita dilahirkan dengan bakat dan kelebihan sendiri, cuma kita perlu tahu di mana kecenderungan kita.

"Sekiranya kita sudah tahu di mana kelebihan kita masa itulah kita mengorak langkah berusaha dengan gigih," katanya.

Kepada yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang hasil kerja anak muda ini bolehlah melayari blog http://za8weddingplanner.blogspot.com atau boleh menghubungi beliau di talian 017-5103 097.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: