Sunday, May 15, 2011

Konsert Pancaindera sempena Fiesta Sungai Melaka


Adira


KEHADIRAN Konsert Pancaindera membuka cerita baru bagi penganjuran Fiesta Sungai Melaka 2011 yang akan berlangsung sepanjang Jun depan. Konsert Pancaindera yang dibawakan oleh akhbar Mingguan Malaysia ke lokasi berkenaan pada 4 Jun depan merupakan antara agenda utama sebagai penyeri program pada kali ini.

Konsert yang bakal menampilkan artis-artis ternama tanah air ini akan diadakan bermula pukul 9 malam bertempat di Taman Rempah, sempena dengan pelancaran Fiesta Sungai Melaka 2011 yang dirasmi oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaacob.

“Kerjasama yang diberikan oleh Kumpulan Utusan untuk menganjurkan acara khas iaitu Konsert Pancaindera akan menjadi daya tarikan untuk kita mencapai sasaran pengunjung yang lebih ramai ke Fiesta Sungai Melaka kali ini.

“Semenjak lima tahun penganjuran, ini adalah penglibatan artis ternama yang terbanyak iaitu hampir 15 orang daripada kalangan pelbagai kaum. Justeru kami sangat terharu atas kerjasama yang diberikan oleh akhbar Mingguan Malaysia kerana membawakan jenama mereka iaitu Konsert Pancaindera ke acara fiesta tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Baharom Majid.

Konsert Pancaindera yang julung-julung kali diadakan di negeri Bandar Teknologi Hijau itu bakal menampilkan dua juara rancangan realiti Akademi Fantasia, Mawi dan Shahir. Selain itu turut tampil ialah artis seperti Six Sense, Fazli zainal, Marsha Londoh, Adira, Sivakumar dan Super Girls.

Pelakon Fizo Omar, Kamal Adli dan Jehan Miskin juga sudah mengesahkan kemunculan untuk bersama-sama bertemu secara eksklusif dengan orang Melaka.

Konsert Pancaindera kali ini yang dijangka berlangsung lebih dua jam akan diacara oleh Didie Alias dan Roslan Shah.

Sebelum itu, pada sebelah petang hari yang sama, acara istimewa bakal berlangsung iaitu para artis akan membuat kemunculan istimewa mereka untuk bersama menaiki bot dengan peminat.

Menyusuri Sungai Melaka selama hampir dua jam, ia akan menjadi nostalgia berharga buat peminat dan artis yang bakal terlibat.

“Ia akan menjadi satu pengalaman terindah. Saya sudah mengikuti beberapa siri Konsert Pancaindera sebelum ini tetapi nampaknya di Melaka ada kelainan. Pancaindera dan artis-artis akan berpeluang untuk bertemu peminat secara lebih eksklusif kerana saya difahamkan kami akan menaiki bot bersama-sama sambil menyusuri Sungai Melaka yang menyimpan banyak sejarah,” kata pelakon Fizo Omar.

Sementara itu, penyanyi Fazli Zainal pula menganggap Fiesta Sungai Melaka adalah satu pendekatan terbaik untuk menggiatkan lagi industri pelancongan negeri Hang Tuah itu, dan ia semakin mendapat publisiti meluas dengan pembabitan banyak artis dan pihak media.

“Setelah lima tahun dianjurkan, buat pertama kali Konsert Pancaindera diberi peluang ke Fiesta Sungai Melaka. Dan sebagai artis pula, sudah tentu saya terharu kerana dipilih oleh pihak penganjur acara untuk sama-sama menjayakan acara yang gilang-gemilang ini.

“Semoga orang Melaka dan pelancong dapat memanfaat kemunculan ramai artis di acara ini dengan cara menyertai setiap acara yang dibuat bersama-sama dengan kami,” katanya.

Selain Konsert Pancaindera, banyak acara lain turut diadakan bersempena dengan Fiesta Sungai Melaka 2011. Ini termasuklah, perarakan bot berhias, karaoke, pameran kesenian berbilang bangsa, pertandingan layang-layang, pertandingan kayak, pameran perkahwinan tradisional dan seribu satu macam acara lain menanti pengunjung.

Istimewa untuk kaum wanita, pertandingan khas melalui pameran kecantikan akan diadakan seperti mencari Ratu Sari, Ratu Kebaya dan Ratu Cheongsam untuk merebut pelbagai hadiah menarik yang disediakan penganjur.

Mereka yang berminat untuk menyertai acara menyusuri sungai Melaka bersama dengan artis popular boleh berbuat demikian dengan cara menghubungi talian 013-6104002 (Liza Deraman) dan 019- 2685226 (Puteri Noor) kerana tempat adalah terhad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: